[Book Review - in Malay] Psikik by Husna Rosli


Sinopsis (daripada Goodreads) :

Di Institut Cahaya, semua pelajar termasuk Elina didoktrin bahawa lelaki merupakan punca kemusnahan dan penderitaan yang dialami kaum wanita. Selepas Presiden Karina bergelar pemimpin, semua lelaki ditangkap dan dipisahkan dari masyarakat. Kanak-kanak lelaki dipisahkan dari ibu mereka dan dilatih untuk menjadi sekadar Pembantu.

Kematian Ilham, seorang gadis kecil yang bijak, seakan membuka mata Elina. Ada sesuatu yang tidak beres dalam hidupnya selama ini. Dia rasa seperti hidupnya mempunyai tujuan yang lebih besar dari sekadar menurut telunjuk Presiden Karina. Pertemuan dengan Zed dan Auntie Wan membuka lembaran baru dalam hidupnya, dan memperkenalkan Elina dengan kuasa istimewanya, kuasa PSIKIK.

Rating : 

5/5 bintang.

Review :

Psikik – sejujurnya, ini merupakan buku Fixi pertama saya. Saya tidak pernah membeli dan membaca buku Fixi selama ini, mungkin kerana saya tidak begitu berminat terhadap genre yang diutamakan sebelum ini.

Namun, saya rasa, buku ini telah mengubah persepsi saya.

Psikik merupakan sebuah novel yang membawa pembaca ke alam feminis, di mana golongan lelaki yang dianggap sering mengambil kesempatan ke atas golongan wanita, dikawal di bawah pemerintahan yang tegas. Silakan baca sinopsis untuk penjelasan yang lebih lanjut, ya. Saya akan mulakan review saya dan membahagikannya kepada beberapa bahagian.

Pertama sekali, plot cerita. Tidak dinafikan, saya begitu kagum dengan plot cerita ini. Sesuai dengan remaja seperti saya, untuk membuka mata dan minda agar lebih memberi tumpuan kepada keadaan sekeliling dan apa yang berlaku di dunia kita pada hari ini. Dengan elemen-elemen yang unik, membuatkan plot ceritanya hamper menggambarkan atau memberi gambaran dunia The Hunger Games kepada para pembaca. (jika ada yang belum baca siri The Hunger Games, sila berbuat demikian!) Plotnya cukup dengan pelbagai aspek yang jitu dalam menjadikan sesebuah novel itu sempurna – ada plot twist, ada persahabatan, ada romance sikit, dan sebagainya. Lengkap, dan bersih. Plotnya juga tidak melampaui batas, sehingga tidak menjadikan cerita ini dragging. Plotnya penuh drama, penuh misteri. Saya, sememangnya, sukakan plot novel ini! Well done, Kak Husna!

Keduanya, watak-watak novel ini. Setiap watak dalam novel ini mempunyai perwatakan dan personaliti yang berbeza, dan mereka menggambarkan watak-watak yang menarik dengan gaya dan cara mereka yang tersendiri. Sememangnya, ada peningkatan bagi setiap character growth, terutamanya watak utama novel ini sendiri. Tidak ada yang boleh terus dikatakan baik, dan tidak ada yang boleh terus dikatakan jahat. Personaliti watak-watak dirangka dengan kemas.

Ketiga, gaya penulisan novel. Sememangnya, gaya penulisan novel ini bersih dan teratur. Gaya bahasanya begitu kemas! Saya mungkin tidak boleh berkata lebih, namun saya sendiri suka dengan gaya penulisan Kak Husna, mungkin kerana saya sendiri tidak dapat menulis seperti beliau, haha! Walaubagaimanapun, saya hanya perlu memberi sedikit teguran terhadap penggunaan bahasa Inggeris. Mungkin ada tersilap grammar yang dapat dikesan. Namun demikian, ianya tidak memberi impak yang besar. Konklusinya, gaya penulisan novel ini memuaskan, dan agak santai.

Sekian sahaja review saya untuk novel ini. Syabas kepada Kak Husna atas kelahiran hasil penulisannya yang pertama. Teruskan menulis!

Rating saya ialah 5 bintang. Silakan baca!

Comments

Popular Posts